Dua lelaki warga tempatan yang cuba mencuri sebuah kereta di Jalan Kluang, dekat sini, terhumban ke dalam longkang, ketika kereta yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, kedua-dua suspek cuba mencuri sebuah kereta di hadapan sebuah kompleks beli-belah.

Bagaimanapun, hasrat mereka terbantut setelah disedari oleh orang ramai, yang kemudiannya bertindak mengejar suspek sehingga beberapa meter daripada lokasi kejadian, di hadapan kompleks beli-belah berkenaan.

“Suspek bagaimanapun gagal mengawal kenderaan yang dipandu mereka sehingga terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum masuk ke dalam longkang,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai kesalahan lampau termasuk jenayah dan dadah.

Perintah tahanan reman akan dimohon hari ini dan kedua-duanya akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri, kata Azhan.

-- BERNAMA